Politeknik Mukah terima 705 pelajar baharu termasuk seorang penuntut OKU

Para pelajar Politeknik Mukah baharu membaca ikrar.

MUKAH, Jun 27: Politeknik Mukah (PMU) telah menerima seramai 705 orang pelajar baharu untuk pelbagai program diploma bagi sesi Jun 2018.

Pengarah Politeknik Mukah, Abdurani Yunus berkata, jumlah kemasukan pelajar baharu itu merupakan peningkatan sebanyak 110 peratus pada norma biasa bagi setiap ambilan sebanyak 640 orang.

Jelasnya, program-program diploma yang ditawarkan adalah seperti Kejuruteraan Awam (139 orang), Kejuruteraan Elektronik Komunikasi (48 orang), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (76 orang), Teknologi Maklumat Digital (134), Kejuruteraan Mekanikal (105 orang), Akauntansi (95 orang), Pengajian Perniagaan (72 orang) dan Sains Kesetiausahaan (37 orang).

“Pelajar-pelajar baharu yang berjaya mendaftar sehingga hari ini adalah sangat bertuah. Ini kerana PMU mempunyai kekosongan yang amat terhad sedangkan yang memohon masuk berjumlah 2,400 orang.

“Manakala, bagi calon-calon yang gagal masuk pada sesi Jun ini, mereka bolehlah memohon bagi sesi November 2018,” katanya di sini hari ini.

Abdurani menambah, ramai pelajar baharu daripada negeri-negeri Semenanjung dan juga Sabah telah memilih masuk PMU pada sesi Jun 2018.

Katanya, keunikan pada sesi Jun kali ini ialah PMU juga telah menerima seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Mohd Azikin Basri yang berusia 21 tahun.

Pelajar OKU, Mohd Azikin Basri, 21, yang ditawarkan program Diploma Teknologi Maklumat.

“Berasal dari Tawau, Sabah dan cacat anggota kakinya sejak lahir, dia telah ditawarkan program Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital).

“Bekas pelajar Kolej Komuniti Tawau itu amat bangga kerana terpilih masuk PMU dan berikrar akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pelajar PMU yang cemerlang,” katanya lagi.

Pada Minggu Inspirasi Siswa (Suaikenal) yang berakhir pada Jun 29 ini, pelbagai aktiviti telah disediakan bertujuan membiasakan dan mendisiplinkan pelajar supaya lebih cemerlang, berdikari, mempunyai sasiah diri yang tinggi serta berakhlak mulia. — DayakDaily