Suami maut, isteri patah kaki terlibat dalam kemalangan

Gambar komposit menunjukkan keadaan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux di Bintangor.

BINTANGOR, Jun 27: Niat sepasang suami isteri untuk berniaga di pasar tamu di sini berakhir dengan tragedi apabila si suami maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Pasi-Skim B Bintangor, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Baki Agok, 72, yang juga merupakan seorang tuai rumah panjang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami.

Menurut sumber, isteri mangsa, Menun Amirir, 67, pula dilaporkan patah kaki kanannya susulan kejadian tersebut.


Katanya, sebelum kejadian kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan ke arah Bintangor untuk berniaga.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang hendak memotong sebuah motosikal lain di hadapannya telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.

“Akibat daripada kemalangan tersebut telah mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu wanita yang memandu Toyota Hilux pula tidak menghadapi sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan kemalangan maut tersebut.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat dan isteri mangsa juga dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis telah menahan pemandu yang berusia 38 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily