KUCHING, 12 Sept: Politeknik Kuching Sarawak (PKS) mampu melahirkan modal insan berkemahiran teknikal dan tenaga kerja industri untuk kegunaan masa akan datang.
Penasihat Pendidikan Negeri Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, PKS merupakan salah sebuah institusi pendidikan TVET.
Katanya, ia merupakan sebuah institusi yang sangat penting dan relevan dalam pembangunan pendidikan bidang teknikal.
“Saya berharap agar PKS terus cemerlang dan menjadi pilihan utama di dalam pendidikan TVET Sarawak dengan sentiasa menawarkan kursus yang bersesuaian mengikut kehendak pasaran kerja tempatan.
“Pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di Sarawak kini amat memberangsangkan.
“Hal ini dapat memberikan peluang yang baik kepada PKS untuk menawarkan kursus-kursus terkini yang bersesuaian bagi keperluan Sarawak khasnya dan negara amnya, ” katanya di Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak ke-30 di sini, hari ini.
Tambah Manyin, langkah ini akan melengkapkan PKS sebagai pusat kecemerlangan akademik yang unggul di rantau ini dan berupaya memberi faedah dan manfaat kepada institusi-institusi yang lain di seluruh Sarawak.
Katanya, dalam tempoh lebih 20 tahun penubuhannya, PKS telah berjaya membuktikan dirinya dapat menyesuaikan diri dengan pembangunan Sarawak.
“Aspek ini juga secara tidak langsung memberi gambaran bahawa PKS turut berupaya memenuhi keperluan pelajar-pelajarnya bagi menyiapkan diri mereka untuk pasaran pekerjaan dan juga cabaran masa depan,” ujar Manyin.
Dalam pada itu, Pengarah KPS Hikmatullah Hajid Ahmad Khan dalam ucapannya berkata, kadar kebolehpasaran graduan PKS adalah melebihi 96 peratus.
Katanya, ia menunjukkan bahawa graduan PKS sentiasa diburu di pasaran pekerjaan semasa.
“Untuk mengekalkan kadar tersebut, PKS sentiasa memastikan agar kesemua pelajar turut dilengkapi dengan kemahiran ‘soft skills’ yang turut menjadi kriteria yang dicari oleh para majikan.
“Sehubungan itu, PKS sentiasa memastikan agar setiap pelajar terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum dan menjadi ahli kelab dan persatuan di kampus bagi membina kemahiran insan yang jitu,” katanya. — DayakDaily