Lelaki maut selepas motorsikal terbabas dan melanggar kenderaan yang belum lagi dikesan

Berdasarkan siasatan di tempat kejadian disyaki, motorsikal yang ditunggang oleh mangsa disyaki telah terbabas sendiri dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan lain berpandukan kesan tayar yang terdapat di tempat kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Sept: Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motorsikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan di laluan bertentangan di KM114 Jalan Miri-Bintulu awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan media, mengesahkan telah menerima laporan sekitar jam 4.12 pagi tadi berhubung kejadian.


Katanya, kejadian berlaku berhampiran dengan Rumah Ngindang.

“Motorsikal mangsa jenis RITZ RU110 menghala dari arah Jalan Miri menuju ke Bintulu melalui Jalan Miri-Bintulu (berhampiran Rumah Ngindang) semasa kejadian berlaku,” Alexson berkata.

Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, motorsikal yang ditunggang oleh mangsa disyaki telah terbabas sendiri dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan lain berpandukan kesan tayar yang terdapat di tempat kejadian.

Setakat ini kenderaan tersebut masih lagi dikesan.

Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan dari Klinik Suai pada jam 5.30 pagi hari yang sama.

Susulan itu, pihak polis memohon saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk tampil ke Balai Polis Trafik Miri atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Mohammad Amiruddin Hamdan di talian 084-430479.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily