Polis tumpas sindiket edar dadah sekitar Kuching dan Samarahan

Mancha (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang berjaya dirampas pada empat serbuan 9 Julai lepas.

KUCHING, 13 Julai: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya 6 saspek melalui 4 serbuan di Kuching dan Samarahan pada 9 Julai lepas.

Serbuan itu merampas dadah jenis ganja seberat 5,253.9 gram dan 1.0 gram ketamin dengan nilai keseluruhan sebanyak RM25,295.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata berkata, enam saspek warga tempatan termasuk seorang perempuan merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.


“Sindiket ini mendapat bekalan dadah daripada Semenanjung yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

“Dua daripada pengedar memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Menurut Mancha, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak kira-kira jam 11.15 pagi itu telah menahan dua individu di sebuah rumah di Pending Height, Kuching.

Katanya, hasil maklumat yang diperolehi membawa kepada penangkapan seorang saspek di Tabuan Jaya, Kuching.

Manakala serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Ilmu dan berjaya menangkap seorang lagi saspek.

“Hasil tindakan susulan, serbuan keempat pada jam 6 petang dilakukan di sebuah unit rumah kedai di Desa Ilmu, Kota Samarahan dan berjaya menangkap dua saspek.

“Kesemua saspek direman selama 7 sehingga 17 Julai 2021 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM3,300 dan sebuah kenderaan MPV. — DayakDaily