Polis trafik tembak mati seorang lelaki di Jalan Simpang Tiga

Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 16 Dis: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail mengesahkan seorang lelaki maut akibat ditembak anggota polis trafik IPD Kuching.

Katanya, tembakan terpaksa dilepaskan ketika anggota terbabit cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Saga warna kelabu kerana mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya lebih kurang 7.20 malam.

Kematian suspek berusia 24 tahun itu telah disahkan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di lokasi kejadian.


Menurutnya, siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Tegasnya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk melengkapkan siasatan. — DayakDaily