Polis tahan lelaki disyaki pukul anak saudara and ibu mertua mangsa ketika mabuk

Suspek (dua dari kanan) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Okt: Seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya dan ibu mertua mangsa dengan sebuah kerusi plastik dan satu tin sardin pada malam Sabtu (16 Okt) ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Tunku Abdul Rahman Lambir.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 37 tahun itu ditahan pada hari yang sama selepas kejadian dilaporkan oleh mangsa.


Ujarnya, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 9.45 malam.

Polis turut merampas satu tin sardin dan sebuah kerusi plastik dipercayai telah digunakan dalam insiden yang berlaku sekitar jam 7 malam itu.

Dalam kejadian, mangsa seorang surirumah berusia 25 tahun dan ibu mertuanya dilaporkan cedera pada bahagian kening dan kepala akibat dipukul oleh suspek.

Dipercayai suspek telah meminum arak sebelum memukul kedua-dua mangsa.

Suspek kini sedang ditahan di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily