9,666 aduan penipuan jualan dalam talian setakat 17 Okt tahun ini

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 18 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima sebanyak 9,666 aduan melibatkan penipuan jualan dalam talian bermula Januari hingga 17 Oktober tahun ini.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,906 aduan melibatkan pengguna yang tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.

“Antara aduan lain yang diterima adalah berkaitan barang atau perkhidmatan yang tidak sama dengan yang ditawarkan (1,696 kes), harga barang atau perkhidmatan mengelirukan (324), barang tiruan dalam talian (152), cetak rompak dalam talian (30), skim piramid dalam talian (16) dan lain-lain (1,542),” katanya menerusi jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.


Jelasnya, segala aduan pengguna akan diteliti bagi mengenalpasti sama ada berlaku kesalahan di bawah bidang kuasa yang dinyatakan dan pihak kementerian akan mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga atas talian yang melanggar perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Antara usaha yang telah dibuat oleh KPDNHEP untuk menangani isu penipuan penjualan atas talian adalah dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di premis pengendali online marketplace untuk menangani isu penipuan penjualan atas talian.

Pada masa yang sama, KPDNHEP menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) dan Syarikat Telekomunikasi (Telcos) selain bekerjasama dengan pengendali ‘online marketplace’ untuk membuat pemakluman atau notis amaran kepada pengguna dan pembeli supaya berhati-hati. — DayakDaily