Polis tahan 2 sahabat disyaki ‘kaki pecah rumah’ sekitar Miri

Dua suspek disyaki terlibat dalam pecah rumah sekitar Miri dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

MIRI, 6 Nov: Dua sahabat disyaki ‘kaki pecah rumah’ sekitar Miri ditahan polis dalam dua serbuan berasingan semalam (5 Nov).

Turut dirampas sebuah televisyen, seunit telefon bimbit dan dua buah beg laptop, termasuk satu beg yang masih lagi mengandungi dokumen pemilik asal sebelum dicuri.

Suspek pertama berusia 34 tahun ditahan di dalam sebuah kamar tidur sebuah rumah di Kampung Pengkalan Lutong sekitar jam 11.15 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) diketuai ASP Unang Giang.


JSJ Miri kemudiannya menahan suspek kedua berusia 28 tahun di belakang sebuah hotel di Jalan Kampung Pengkalan Lutong sekitar jam 12.50 tengahari pada hari yang sama.

Dipandu arah oleh suspek kedua, pihak polis menemukan sebuah set televisyen (jenis Sharp), sepasang kasut keselamatan dan seunit telefon bimbit di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Lutong.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Seskyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek tersebut. — DayakDaily