Belanjawan 2021: Sarawak terima peruntukan pembangunan RM4.5 bilion

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Image from Finance Ministry website.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUALA LUMPUR, 6 Nov: Sebanyak RM4.5 bilion peruntukan pembangunan bagi tahun 2020 bakal diterima Sarawak menerusi Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan di negeri itu.


Katanya peruntukan tersebut merupakan antara intipati dalam strategi kedua iaitu Agenda Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Strategi ini merupakan peringkat 6R terakhir iaitu Reform atau menyusun semula dan kerajaan akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Katanya, projek-projek pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi juga akan diteruskan dengan peruntukkan berjumlah RM780 yang turut merangkumi pembinaan infrastruktur di kawasan Perindustrian Samalaju, Bintulu dibawah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan turut memperuntukan RM41 juta bagi program Native Customary Rights (NCR) bagi Sabah dan Sarawak.

Peruntukan tersebut katanya bagi membantu dalam usaha menyukat, menandakan sempadan dan mewartakan tanah yang diklafikasikan dibawah NCR di kedua negeri terbabit.

“Peruntukan berjumlah RM41 juta untuk program NCR di Sabah dan Sarawak ini adalah bagi menjalankan kerja-kerja ukur tanah untuk menandakan sempadan bagi pewartaan tanah NCR di kedua negeri tersebut,” katanya. — DayakDaily