Polis Sarawak komited banteras kes judi dalam talian, 100 serbuan dilakukan sejak 2 April

Mohd Azman dalam sidang media tersebut di IPK Sarawak.

KUCHING, 18 April: Polis Sarawak menyerbu sebuah premis di kawasan Kuching City Mall disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri seramai lima warga asing berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun ditangkap dalam ‘Op Dadu Khas’ tersebut.

Katanya, kesemua suspek dipercayai bekerja sebagai operator pengendalian perjudian dalam talian dengan bayaran gaji RM1,500.


“Siasatan awal mendapati pusat perjudian tersebut telah beroperasi mengikut syif dalam tempoh 24 jam sejak dua bulan lepas.

“Berdasarkan rekod dan transaksi telah berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM30,000 sebulan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata sejak Op Dadu Khas dilancarkan pada 2 April lepas, Polis Sarawak menjalankan 100 serbuan dengan 100 orang berjaya ditangkap melibatkan rampasan wang tunai bernilai RM17,621.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline Whatsapp Op Dadu di talian 013-5253052,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerugian jenayah komersial di Sarawak bagi Januari hingga 16 April telah meningkat kepada RM34.3 juta, berbanding RM20.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, jumlah kes di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak turut mengalami peningkatan 19.69 peratus kepada 885 kes berbanding 752 kes pada tahun lepas.

“JSJK Sarawak berusaha membendung jenayah komersil dan telah menghasilkan sebanyak 239 tangkapan bagi tahun 2023.

“Manakala seramai 396 orang, termasuk kes-kes tahun sebelum ini telah dituduh di mahkamah,”katanya. — DayakDaily