Polis patahkan cubaan seludup warga asing di Lundu

PDRM logo

LUNDU, 16 Jun: Tindakan seorang lelaki yang seakan mencabar kecekapan petugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan cuba menyeludup masuk dua lelaki warga Indonesia mengundang padah, apabila ditangkap pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata suspek berusia 27 tahun dan beralamatkan dari Klang, Selangor itu mulanya ditahan untuk pemeriksaan sekitar jam 7 pagi.

Jelasnya, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Honda itu didapati membawa dua penumpang lelaki.


Petugas di SJR tersebut kemudian terus melakukan pemeriksaan dan mendapati dua penumpang terbabit merupakan warga negara Indonesia.

Mereka kemudian ditahan untuk pemeriksaan lanjut selepas didapati kedua-dua warga Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Untuk siasatan lanjut, mereka telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959 dan 1963.

Damataries turut memberitahu siasatan awal mendapati kedua-dua warga Indonesia terbabit masuk ke Sarawak melalui jalan yan tidak sah.

Ketiga-tiga suspek juga telah menjalani ujian calitan Covid-19 dan disahkan negatif Covid-19. — DayakDaily