Polis Padawan lupus barang kes di bawah Akta Kastam bernilai RM4.79 juta.

Gambar komposit menunjukkan barang-barang kes dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Jalan Mambong.

KUCHING, Nov 24: Pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai RM4.79 juta membabitkan sembilan kes di daerah Padawan dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Jalan Mambong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata barang-barang tersebut adalah melibatkan kes-kes barangan tidak bercukai di bawah Akta Kastam 1967.

Menurutnya proses pelupusan tersebut dilakukan selepas mendapat arahan daripada Mahkamah Majistret Kuching.

“Jumlah keseluruhan barang kes yang dilupuskan adalah 26,776 kotak pelbagai jenis rokok dan sebanyak 3,413 kotak serta 242 botol minuman keras dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM4,795,396,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menambah barang-barang kes dimusnahkan dengan menggunakan jentera berat.

“Barang-barang kes tersebut dilupuskan memandangkan tempat penyimpanan barang kes yang terhad.

“Selain itu, terdapat 14 kes lagi yang belum mendapat arahan pelupusan barang kes iaitu empat kes pada tahun 2019 dan 10 kes pada tahun ini,” katanya.

Hadir sama dalam operasi melupuskan barang kes tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Lim Jaw Shyong dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah ASP Joshua Masing Lugoh. — DayakDaily