Covid-19: 2,188 kes baharu, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Nov: Malaysia merekodkan angka harian tertinggi baharu jangkitan Covid-19 dengan 2,188 kes sejak pandemik melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada satu sidang media hari ini berkata, ia melibatkan semua kes penularan tempatan.

“Untuk pertama kalinya, pada 24 November 2020, negara kita telah merekodkan kes harian mencecah angka dua ribu iaitu sebanyak 2,188 kes
baharu.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 58,847 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,353 kes, ” katanya.

Menurut beliau, Selangor masih lagi mencatatkan pelaporan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,623 kes (74.2 peratus), diikuti oleh Sabah iaitu sebanyak 232 kes (10.6 peratus) dan Perak sebanyak 112 kes (5.1 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 341 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan tiga kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

“Tiga kes kematian dilaporkan di Sabah dan satu kes di Pulau Pinang. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,673 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 44,153 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 112 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)termasuk 49 kes memerlukan bantuan
pernafasan,” katanya. — DayakDaily