MEDAC perkenal platform E-dagang bantu PKS dan Mikro

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 NOV: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi(MEDAC) bakal melaksanakan platform E-dagang yang diharap memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) dan mikro.

Bagi menjayakan inisiatif tersebut, Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat dan operator pasaran atas talian.

“Seramai 13 orang wakil syarikat-syarikat utama E-dagang yang beroperasi di Malaysia telah hadir di dalam sesi perbincangan yang telah diadakan,’ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Junaidi, MEDAC berhasrat menyediakan bantuan setelah menyedari akan kemajuan prestasi dan potensi di sektor E-dagang di dalam menyebar-luas serta mengembangkan pasaran komuniti usahawan dan koperasi tempatan.

“Berdasarkan statistik pihak Malaysia Digital Economy Corporation(MDEC) dan Jabatan Statistik Malaysia(DOSM), sektor e-dagang negara telah menyumbang sebanyak RM127 billion daripada keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

“Sektor ini telah juga menunjukkan trend peningkatan dari segi prestasinya, berbanding tahun 2015, yang mencatatkan RM89 billion,’ katanya.

Jelas beliau, platform E-dagang membantu memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dana sumber pembiayaan alternatif.

Ia juga membantu usahawan PKS dan Mikro tempatan yang terkesan ekoran daripada wabak Covid-19 dan PKP, untuk bangkit semula
memulakan perniagaan.

“Plaform ini juga membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan Geran SME Corp. seperti BEEP, untuk memulakan projek sebagai ‘bridging fund’,’ ujar Wan Junaidi. — DayakDaily