Polis Miri rampas bakakuk dan ‘kwantau’, tahan 2 suspek

Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 9 Nov: Penangkapan dua lelaki tempatan dalam Operasi Laras dan Cantas petang semalam di pakir kereta berhadapan sebuah bistro di Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau, membawa penemuan selaras senapang patah buatan sendiri (bakakuk) dan sebilah pedang.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah.


Suspek berusia 24 tahun mempunyai sebanyak lima rekod berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala rakannya pernah terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan.

Penemuan itu dibuat sekitar jam 2.05 petang, selepas anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) diketuai ASP Unang Giang menahan sebuah kereta jenis Proton Wira, warna kelabu yang dalam keadaan mencurigakan dengan menggunakan nombor pendaftaran yang telah di ubahsuai yang dipercayai palsu.

Bakakuk tersebut dijumpai di dalam bonet belakang kereta, manakala ‘kwantau’ berukuran panjang lebih kurang 84cm beserta hulu, di dalam kereta tempat letak kaki penumpang belakang.

Turut ditemui ialah satu unit tukul besi panjang lebih kurang 63cm, di dalam kereta tempat letak kaki penumpang belakang kereta tersebut dan sebilah pisau yang di ubahsuai dan hulunya dibaluti dengan kain warna merah berukuran panjang lebih kurang 17cm, dijumpai di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri suspek berusia 24 tahun.

Dalam operasi itu, semasa menghampiri kereta tersebut, seorang suspek lelaki telah keluar dari bahagian pemandu dan terus melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis.

Kedua-dua suspek berjaya diberkas pihak polis dan kini sedang ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. — DayakDaily