Polis Miri berkas dua suspek curi mesin basuh dalam gambar tular di media sosial

Gambar suspek yang berjaya dirakam pemilik rumah.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Mei: Kurang tiga jam selepas seorang lelaki dilihat bersama rakannya mengambil sebuah mesin basuh dari belakang sebuah rumah di Jalan Muria 10, Pujut 2B semalam, polis menahan salah seorang daripada mereka untuk siasatan lanjut.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 4.30 petang semalam.


Rakannya turut ditahan polis sekitar jam 10 malam hari yang sama.

Turut ditemui sebuah mesin basuh yang dilaporkan dilarikan suspek dalam kejadian pada jam 1.08 petang itu.

Difahamkan, kejadian disedari mangsa berusia 41 tahun yang bekerja sebagai guru sekolah semasa berjalan ke belakang kawasan rumahnya.

Semasa berada di kawasan belakang rumahnya, pengadu ternampak kelibat dua lelaki sedang mengangkat mesin basuh miliknya menggunakan sebuah motorsikal.

Dalam kejadian itu, pengadu sempat mengambil gambar kedua-dua suspek sebelum mereka melarikan diri bersama mesin basuh mangsa.

Gambar suspek sedang mengangkat mesin basuh tersebut kemudian menjadi tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily