2 premis serta 3 individu di Bintulu dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM44,500 akibat ingkar SOP

Kelihatan Dr Chung ketika ditemui media pada tinjauan pematuhan SOP di sekitar Bintulu.

KUCHING, 4 Mei: Dua premis di Bintulu masing-masing dikenakan kompaun RM30,000 dan RM10,000 setelah didapati tidak mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diperketatkan (PKPD) semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), turut dikompaun pada satu operasi pematuhan SOP yang dilakukan agensi penguatkuasa di sekitar Bintulu adalah tiga individu dengan semuanya dikenakan kompaun RM1,500.

Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung ketika ditemui berkata, antara kesalahan yang telah dilakukan mereka ialah tidak mengimbas aplikasi MySejahtera, tidak menyediakan cecair pembersih tangan dan tidak mengikuti garis panduan peratusan bekerja dari rumah.


“Sebuah syarikat pembekal makanan kering dan minuman di kawasan perindustrian Batu 5 dikenakan kompaun RM30,000 ekoran tidak mematuhi SOP yang telah digariskan seperti tidak mengimbas MySejahtera dan menyediakan cecair sanitasi tangan.

“Syarikat juga tidak memastikan kapasiti pekerja tidak melebihi 30 peratus dan bekerja dari rumah 70 peratus.

“Masih ada syarikat yang tidak bertanggungjawab dan masih mengulangi kesalahan yang sama hingga dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 atas kesalahan peraturan 19 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988,” katanya.

Tambah Dr Chung, sebuah lagi premis pasaraya di Pusat Komersial Medan Raya pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati gagal mematuhi SOP dengan membenarkan lebih 30 peratus pekerja turun bekerja.

Dalam pada itu, katanya, tiga individu turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 ekoran tidak mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera.

“Daripada lapan premis yang telah kita dilakukan tinjauan, kita telah mengenakan kompaun sebanyak RM44,500 akibat kesalahan mengingkari pematuhan SOP PKPB SOP Diperketatkan,” ujarnya.

Hadir sama MP Bintulu yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat Cina Dato Sri Tiong King Sing, wakil Penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bintulu. — DayakDaily