Polis Miri berjaya tumpas dua geng pecah rumah, 9 ahli geng ditahan

ACP Lim (dua dari kiri) menunjukkan barangan curi yang dirampas pada satu sidang media.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 9 Okt : Polis Miri berjaya menumpaskan anggota dua kumpulan aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan bangunan sekitar bandar raya ini yang dikenali sebagai “geng Toni” dan ‘geng Richard” baru baru ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata sembilan ahli kumpulan berkenaan, termasuk tiga pembeli turut ditahan.

Semua barang kes seperti komponen komputer dan elekrik dengan anggaran nilai RM120,000 turut dirampas dalam serbuan yang bermula sejak 3 Oktober sehingga Oktober 7.

“Mereka ditahan di beberapa lokasi berbeza di sekitar Senadin dan Tudan,” katanya pada satu sidang media di Balai Polis Pusat Miri hari ini.

Turut hadir ASP Unang Giang, Inspektot Fredly Juing dan Inspektor Erwin Geogfrry Ussan.

Anggaran kerugian bagi semua kes adalah kira-kira RM200,000 dan pihak polis turut merampas 54 jenis barangan curi termasuk beberapa komponen komputer, televisyen, jam tangan dan beberapa barangan antik termasuk dua meriam antik.

Tangkapan dilakukan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri.

Lim berkata dengan penahanan sembilan suspek itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan 24 kes pecah rumah dan curi di bandar ini.

Suspek yang berusia sekitar 25 sehingga 31 tahun itu aktif melakukan aktiviti pecah rumah dan curi di sekitar kawasan bandar raya ini di Senadin ,Tudan, Pernyjaya, Piasau dan Lutong.

Beliau menambah  kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-DayakDaily