Polis marin rampas rokok, minuman keras seludup serta lori bernilai RM2.47 juta

Shamsol menunjukkan minuman keras dalam tin dibawa lori panjang yang ditahan.

KUCHING, 3 Sept: Sebuah lori yang dipercayai membawa rokok dan minuman keras seludup telah dirampas oleh pasukan marin Sarawak di Bt 10, Jalan Landeh, di Padawan, semalam.

Menurut komander polis marin Wilayah Sarawak, ACP Shamsol Kassim, nilai rampasan termasuk lori tersebut dianggarkan RM2.47 juta.

Dalam operasi pada jam 5 pagi tersebut, polis marin menahan pemandu lori terbabit, iaitu seorang lelaki berusia 54 tahun dari Kuching, yang telah diserahkan kepada ibupejabat polis Padawan.

“Ini kejayaan paling besar kami tahun ini daripada keseluruhan 25 kes melibatkan tangkapan pihak pasukan polis marin seluruh Sarawak tahun ini,” katanya kepada sidang media di ibupejabat polis marin Sarawak di Bintawa, di sini, hari ini.

Shamsol menunjukkan rokok yang telah dirampas.

Shamsol berkata lori terbabit membawa sebanyak 31,200 tin minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai, yang dianggarkan bernilai RM187,200 dan rokok pelbagai jenama tanpa cukai dianggarkan bernilai RM1.5 juta, dengan keseluruhannya rampasan itu berjumlah RM2,470,200 termasuk nilai lori.

“Lori panjang ini dipercayai dari bandar lain, bukan dari kawasan sempadan negeri dan sedang menghala ke bandar raya ini ketika ditahan pasukan kami,” katanya.

Ujar beliau, muatan minuman keras dan rokok dibawa lori terbabit dipercayai dari negara jiran berdasarkan jenamanya. Ia juga dipercayai diseludup ke negeri ini melalui perairan bagi diedarkan ke sekitar bandar raya ini.

“Lori terbabit berjaya ditahan kami hasil maklumat yang diberikan dari orang ramai dan juga risikan pasukan kami,” katanya.

Kes tersebut akan disiasat itu dibawah Akta Kastam 1967.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai terus memberikan maklumat kepada pasukan polis bagi menghalang kegiatan penyeludupan di negeri ini yang merugikan ekonomi negara. — DayakDaily