MIRI, 20 Nov: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok bernilai RM44,388 dalam satu serbuan keatas sebuah rumah kedai di Bekenu, di sini semalam.
Komandernya ACP Shamsol Kassim berkata ‘Op Landai Covid-19’ itu dijalankan oleh Unit Risikan Marin sekitar jam 2.30 petang daripada maklumat dan risikan yang dibuat.
Pasukan serbuan terus menjalankan pemeriksaan di dalam premis dan menjumpai pelbagai jenis rokok serta minuman keras yang disimpan di dalam stor.
Siasatan lanjut mendapati seorang lelaki yang berada di premis telah gagal mengemukan sebarang dokumen yang sah memiliki dan menyimpan rokok serta minuman keras tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kesemua rokok dan minuman keras tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.
“Rokok yang dirampas ialah 17,820 batang rokok putih dan 10,192 batang rokok kretek dengan anggaran nilai RM22,690.
“Manakala minuman keras pula ialah 1,800 tin bir, 648 botol bir, 29 botol arak dengan anggaran nilai sekitar RM21,698,” katanya.
Selain itu seorang lelaki warga Indonesia  berusia 23 tahun yang berada di premis berkenaan juga ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes dirujuk dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana kesalahan disyaki menjual rokok dan minuman keras secara tidak sah. — DayakDaily