Tentera gagalkan cubaan seludup minuman keras di sempadan Malaysia-Brunei

Minuman keras yang cuba diseludup.

LIMBANG, 10 Ogos: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengagalkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM90,000 di sempadan Malaysia-Brunei hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata sepasukan anggota dari Briged Kesembilan Infantri Malaysia telah melakukan rondaan Op Benteng sekitar jam 2.30 pagi.

Katanya, pasukan terbabit kemudian menyerbu kawasan jeti Kampung Sibukang iaitu kira-kira 1 kilometer dari sempadan Malaysia-Brunei setelah mengesan sebuah van yang berhenti di jeti berkenaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan bersama dua lelaki warga negara Brunei berusia lingkungan 24 hingga 53 tahun.

“Pasukan operasi turut menemui pelbagai jenis minuman keras berjumlah 116 karton dianggarkan bernilai RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Kesemua suspek ditangkap dan minuman keras serta sebuah van yang dianggarkan bernilai RM30,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Rampasan dan tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang untuk siasatan lanjut. — DayakDaily