Polis Kuching perhebatkan operasi pantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

Pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas premis hiburan di bandaraya Kuching.

KUCHING, 23 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang masih degil dan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata pemantauan dan pemeriksaan ke atas pusat-pusat hiburan, kedai makan atau ‘food court’ dan lokasi tumpuan ramai akan dilakukan setiap hari di sekitar bandaraya ini.

Justeru, mana-mana yang didapati ingkar atau melanggar SOP yang ditetapkan akan dikompaun serta merta.


Terbaru katanya adalah pada malam Rabu, di mana seramai 10 individu dikompaun di sebuah premis hiburan di Jalan Wan Alwi di sini.

Kata Merbin, premis tersebut semasa diperiksa sekitar jam 10.30 malam didapati masih beroperasi dan melanggar tempoh masa yang ditetapkan.

“Pemeriksaan diadakan di dalam premis tersebut terdapat pelanggan yang sedang berhibur dan seterusnya tindakan kompaun dikeluarkan kerena tidak mematuhi SOP (melebihi masa yang dibenarkan).

“Kesemua yang dikompaun adalah enam merupakan warga tempatan iaitu seorang lelaki dan lima wanita berusia 24 hingga 45 tahun serta empat warga asing iaitu seorang lelaki dan tiga wanita berusia 36 hingga 43 tahun,” katanya.

Tegasnya, warga tempatan yang dikompaun diarahkan menjelaskannya di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari.

Manakala bagi warga asing, mereka  ditahan bagi semakan dokumen diri dan seterusnya dirujuk ke pejabat pendakwaan bagi arahan tuduh di mahkamah dalam masa terdekat ini. — DayakDaily