Bantuan Khas Kewangan: Beri tumpuan kategori miskin, miskin tegar

Parti Keadilan Rakyat logo.
KUCHING, 23 April: Tumpuan sewajarnya turut diberikan kepada golongan yang tersenarai dalam kategori miskin dan miskin tegar dalam memberikan Bantuan Khas Kewangan semperna sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Ini kerana golongan dalam kategori tersebut merupakan antara golongan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Zulhaidah Suboh berkata penularan pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai pekerja kehilangan punca rezeki yang sekaligus menjurus kepada peningkatan kadar penganguran.
Situasi itu juga secara tidak langsung menjurus kepada pertambahan jumlah bilangan isi rumah yang jatuh pada ketagori miskin dan miskin tegar.
“Kerajaan harus memberi tumpuan Bantuan Khas Kewangan bersempena Hari Raya kepada penerima Bantuan Prihatin Nasional (BSH) iaitu kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU), penjaja, pekebun kecil, nelayan, pelajar (B40) dan pekerja kehilangan pekerjaan yang meraikan Hari Raya Aidilfitri, perayaan Gawai Dayak dan Kaamatan yang akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun PKR mengambil maklum berkenaan bayaran Bantuan Khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam, pengagihan bantuan terbabit haruslah adil dan saksama, terutamanya untuk golongan miskin tegar termasuk di Sarawak.
Ini kerana menurut Zulhaidah, semua bangsa mengalami ‘insiden’ kemiskinan, termasuk kemiskinan bandar dan luar bandar dan kerajaan pastinya menyedari kesukaran yang dihadapi oleh rakyat itu.
“Inilah masanya kerajaan yang memerintah membuktikan bahawa tiada yang tercicir daripada mendapat Bantuan Khas Kewangan untuk meringan beban yang di tanggung rakyat akibat impak Covid-19 ke atas ekonomi marhaen,” katanya.
Menerusi satu kenyataan media semalam, Pejabat Perdana Menteri, mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada semua penjawat awam persekutuan gred 56 ke bawah dan RM250 bagi persara kerajaan di seluruh negara.
Bantuan tersebut juga turut dipanjangkan kepada penjawat awam di bawah Contract Of Service, Contract For Services, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP. — DayakDaily