Polis cekup tiga lelaki terlibat sindiket pinjaman wang tanpa lesen

Antara barangan yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 13: Tiga lelaki yang terlibat dalam sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen dicekup polis dalam serbuan berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt, Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 29 tahun.


Katanya, semua suspek diberkas mulai serbuan yang dijalankan mulai 11 hingga 13 Julai.

“Mereka telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Mustafa Kamal menambah, suspek-suspek ditahan selepas menerima aduan daripada seorang jururawat dan pengurus jualan yang masing-masing kerugian RM2,400 dan RM100,000.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek sering menyatakan bahawa mereka mempunyai pengaruh dan mengenali pegawai polis bagi menakutkan mangsa.

“Polis telah merampas pelbagai barangan yang nilainya mencecah RM270,000 daripada semua suspek,” katanya. — DayakDaily