Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Nov 9: Seorang peniaga dan isterinya ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran jenis syabu menerusi serbuan di sebuah rumah di Merdang Garden Phase 3, Jalan Datuk Mohd Musa, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 37 dan 36 tahun itu ditahan pada pukul 1.10 petang.
Menurutnya, hasil serbuan polis telah merampas 32 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 472.3 gram.
“Polis juga merampas satu beg yang di dalamnya terdapat plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 72.07 gram.
“Jumlah rampasan keseluruhan dadah itu adalah seberat 544.37 gram dengan nilai pasaran sebanyak RM81,656,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sahar menambah, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengedar dadah itu di sekitar daerah berkenaan.
Katanya, polis turut merampas tiga kenderaan milik suspek iaitu Toyota Estima, Isuzu D-Max dan Perodua Myvi.
“Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM9,600 dan seutas gelang emas yang dianggarkan bernilai RM4,480.
“Nilai keseluruhan rampasan berkenaan adalah sebanyak RM169,080,” ujarnya.
Sambil menambah, hasil keputusan ujian kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Namun, ujian kencing bsuspek wanita adalah negatif,” katanya. — DayakDaily