Polis cekup lelaki tempatan disyaki miliki dadah

Kelihatan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Jun 12: Seorang lelaki tempatan dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Palma Indah, Jalan Matang, hari Isnin (Jun 10).

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari IPD Padawan pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman tersebut telah berjaya merampas dadah disyaki ketulan syabu seberat 5.62 gram.

“Nilai dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,052.

“Hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Merbin menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun tetapi tidak lebih daripada 5 tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat, tidak kurang 3 sebatan dan tidak lebih daripada 9 sebatan. — DayakDaily