128 tangki air disumbangkan kepada 6 kampung di Pantai Damai

Dr Abdul Rahman (tujuh dari kanan) secara simbolik melakukan penyerahan 128 tangki air kepada enam kampung di kawasan DUN Pantai Damai.

KUCHING, Jun 12: Kerajaan Sarawak telah menyumbangkan sebanyak 128 tangki air kepada enam kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai semalam.

Enam kampung terbabit ialah Kampung Sibu Laut, Kampung Sungai Aur, Kampung Trombol, Kampung Nyabut, Kampung Sri Kandung dan Kampung Mersan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah menyampaikan sumbangan tersebut di Telaga Air, Matang.


“Sebanyak 128 tangki air yang setiap satunya berkapasiti 500 liter diagihkan kepada penduduk enam kampung tersebut,” kata Dr Abdul Rahman.

Beliau berkata pengagihan tangki itu bagi fasa kedua melibatkan empat kampung lagi akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Daun Nibong, Kampung Sungai Batu dan Kampung Pasir Pandak.

Tambah beliau, pengagihan tangki tersebut adalah untuk mengatasi masalah kekurangan air pada musim kemarau ketika ini.

Disamping itu, usaha sedang dijalankan pihaknya bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk membolehkan air dapat disalurkan menerusi paip di semua kampung berkenaan. — DayakDaily