Lelaki temui ajal ketika baiki kereta, kenderaan hempap mangsa

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 12: Malang menimpa seorang lelaki warga emas selepas dipercayai dihempap sebuah kereta yang sedang dibaikinya lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia hanya dikenali sebagai Lim.


Menurut sumber, mangsa yang berusia 62 tahun sebelum kejadian itu dikatakan sedang membaiki sebuah kereta di rumahnya.

Namun malang, katanya, peralatan khas yang digunakan untuk mengangkat kereta itu dikatakan tiba-tiba tidak berfungsi.

“Impaknya mengakibatkan kenderaan tersebut menghempap mangsa sebelum insiden berkenaan disedari oleh ahli keluarganya.

“Ahli keluarganya kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily