KUCHING, 16 Okt: Seramai 624 Pegawai dan anggota polis ditugaskan di sepanjang tempoh proses Pilihanraya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia bagi memastikan kawalan keselamatan sepanjang pilihanraya tidak diganggu oleh mana-mana pihak yang cuba bertindak melanggar undang-undang.
“Ia bagi memastikan proses PRK DUN Jepak dapat diadakan secara aman dan lancar.
“Pihak Polis telah mengatur penugasan secara terperinci yang merangkumi lima fasa,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober. — DayakDaily