Polis akan jalani siasatan teliti untuk mengenalpasti punca kematian penyelam di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti

DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 April: Siasatan polis bagi mencari punca kejadian seorang penyelam yang ditemukan lemas semasa mengikuti aktiviti menyelam di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, pada Ahad (18 April) di perairan Miri akan melibatkan pelbagai sudut, kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

“Selain rakaman percakapan saksi-saksi semasa kejadian, polis akan turut melakukan siasatan dari aspek teknikal dan keadaan gas pernafasan daripada silinder menyelam mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung perkembangan kes berkenaan.


Ujarnya, setakat ini tiada unsur-unsur jenayah ditemukan dalam kejadian.

Pada Rabu (21 April), pengawal taman negara dan rizab semuladi Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) telah mengeluarkan notis penutupan sementara kemasukan pelawat ke Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti bagi memberi laluan pihak polis melakukan kerja-kerja siasatan kes tersebut.

Penutupan dibuat sehingga notis lanjut yang akan diumum kelak.

Dalam kejadian pada Ahad lepas, mayat penyelam lelaki yang berusia 34 tahun, dari Sibu dijumpai terapung oleh penyelam lain yang berada di kawasan menyelam tersebut.

Sebelum itu, sekitar jam 12.30 tengahari, mangsa , telah menyelam di kawasan tersebut bersama 25 rakan yang lain.

Mereka telah melakukan sebanyak dua kali selaman.

Selaman pertama yang berlangsung selama hampir sejam berjalan dengan lancar, namun pada selaman kedua, keadaan air laut yang bergelora menyebabkan semua penyelam naik ke atas bot kecuali mangsa. — DayakDaily