Lapan penyelam dikhuatiri hilang, ditemui selamat

Kesemua mangsa ditemui selamat.

MIRI, 30 Sept: Seramai lapan orang penyelam yang dilaporkan hilang di 13 Batu Nautika Barat Daya Perairan Miri ditemui selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai insiden tersebut petang tadi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral dikerahkan ke Pangkalan Marina Bay untuk penugasan seterusnya.

“Pada jam 5.06 petang, pasukan penyelamat menggunakan Bot Kilat 41 berjaya menyelamat enam mangsa terdiri dua wanita dan empat lelaki.

“Pada jam 5.10 petang, pasukan penyelamat menaiki Bot Kilat 42 berjaya menyelamat dua lagi mangsa lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Pangkalan Marina Bay pada jam 6.40 petang.

“Kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.06 malam. — DayakDaily