PM umum Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mulai Rabu

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

PUTRAJAYA, 16 Mac: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengumumkan Pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac di seluruh negara susulan penularan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan memutuskan pelaksanaan perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

“Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin,” katanya pada Perutusan Khas Covid-19 di Putrajaya.

Tambah Muhyiddin, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Untuk menguatkuasakan larangan ini katanya, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac.

“Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara, keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

“Dan keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan beliau akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19.

Menurut beliau, kes Covid-19 telah meningkat secara mendadak iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih. — DayakDaily