PM: Kerajaan peruntukan RM1.2 bilion bantuan kehilangan pendapatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Advertisement

KUCHING, 17 MAC: Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan kehilangan pendapatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata, bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang
pendapatan.

Katanya, bayaran tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat(BPR) yang berpendapatan dibawah RM1,000.

Advertisement

“Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO,”katanya dalam ucapan Program Strategik
Memperkasa Rakyat dan Ekonomi(PEMERKASA) hari ini.

Jelas Muhyiddin, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

Manakala bagi individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia katanya akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan.

Ujar beliau, kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka.

Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Kerajaan menerusi inisiatif program bantuan rentan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai.

“Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas,’ujar beliau.-DayakDaily

Advertisement