PM: Golongan B40 dikuarantin di rumah layak terima RM50 sehari selama 14 hari

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, 17 MAC: Golongan B40 yang dikuarantin di rumah atas sebab Covid-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari selama maksimum 14 hari.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia sebagai penambahbaikan inisiatif mySalam yang telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran RM40 juta.

“Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan.


“Sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti,’katanya dalam ucapan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi(PEMERKASA) hari ini.

Selain itu, kerajaan menerusi PEMERKASA kata Muhyiddin menyediakan dana RM30 juta untuk membantu usahawan wanita beralih ke pasaran dalam talian.

Tambah beliau, BSN juga akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri
PERKESO,’ujar beliau.

Dalam pada itu golongan OKU turut diberi perhatian dalam PEMERKASA dengan Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.

Jelas Muhyiddin, sebanyak RM26 juta akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

“Selain itu, Kerajaan bersetuju menambah RM20 juta untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ia bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,’ujar beliau.-DayakDaily