MPP minta peruntukan lebih besar untuk mengatasi masalah banjir kilat

Lo Khere Chiang

KUCHING, Feb 6: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berharap kerajaan negeri akan memberi peruntukkan yang lebih besar tahun ini untuk menjalankan projek perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata masalah banjir kilat semakin kerap berlaku di kawasan perbandaran tersebut, yang merangkumi kawasan dari Padawan, Batu Kawah dan Matang, disebabkan sistem peparitan kecil dan kurang sempurna.

Banyak sistem perparitan perlu dinaiktaraf tetapi pihak berkuasa tempatan itu kekurangan peruntukan untuk menjalankan projek terbabit selepas bajet dikurangkan oleh kerajaan pusat tahun lepas, ujar beliau.


“Kerajaan pusat telah memotong peruntukan kepada MPP, ini termasuk peruntukan projek mitigasi banjir 2018 yang telah dikurangkan sehingga sebanyak RM250 juta,” kata beliau kepada pemberita di rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediamannya di Batu Kawah, di sini hari ini.

Lo berkata semenjak tahun lepas, beliau telah menggunakan peruntukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang untuk menjalankan projek-projek perparitan di kawasan MPP seperti Jalan Arang, RPR Batu Kawah dan Desa Wira.

“Ini termasuklah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kawasan saya. Selain mengunakan peruntukan dari program ‘walkabout’ ketua menteri,” katanya.

Lo (tiga dari kanan) menerima surat jemputan meraikan majlis sambutan Tahun Baru Cina dari ahli Persatuan Kebudayaan Hakka Malaysia Cawangan Sarawak di rumah terbukanya.

Namun demikian, Lo berkata walaupun peruntukan MPP telah dipotong kerajaan pusat, pihak berkuasa tempatan itu masih mampu menjalankan sebanyak 270 projek infrastruktur seperti jalan raya dan perparitan di kawasannya yang bernilai RM22 juta tahun lepas.

Sehubungan itu, MPP tidak lagi mengharap untuk mendapat peruntukan besar dari kerajaan pusat bagi melaksanakan projek infrastruktur penting termasuk perparitan bagi mengatasi banjir kilat di kawasan pentabirannya tahun ini, ujar beliau.

“Tahun ini saya hanya berharap MPP dapat menerima peruntukan (dari kerajaan negeri) yang sama atau lebih sedikit dari tahun lepas bagi menjalankan lebih banyak projek infrastruktur penting itu seperti parit dan jalan raya,” tambahnya.

Lo percaya tindakan kerajaan negeri mengenakan cukai jualan terhadap hasil minyak dan gas negeri ini akan meningkatkan sumber pendapatan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini, tanpa mengira samada mereka penyokong pembangkang atau Gabungan Parti Sarawak (GPS), untuk memberikan sokongan kepada inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk meningkatkan pendapatan negeri. — DayakDaily