PM: Belanjawan 2021 beri fokus selamatkan nyawa dan kehidupan rakyat pasca Covid-19

File photo for illustration purposes
Advertisement

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Belanjawan 2021 akan memberi fokus kepada usaha menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat di negara ini pasca Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, belanjawan itu akan menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu memperkasakan rakyat, menyokong sektor perniagaan dan memperkukuhkan sektor ekonomi negara.

“Ini ialah disamping kita hendak mempastikan agar kesihatan awam dan sokongan buat barisan hadapan ini yang kita lakukan selama ini dapat kita teruskan.”

Advertisement

Katanya, belanjawan tersebut juga akan mengariskan empat teras yang akan membantu serta menyokong tonggak utama usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara pasca covid-19.

“Teras tersebut antara lain sokongan yang bersasar untuk golongan yang mudah terjejas akibat Covid-19 dan saya rasa ini berita yang agak menarik dan di minati oleh semua.”

Kata Muhyidin, belanjawan kali ini antara lain mahu melihat golongan mudah terjejas tersebut khususnya golongan B40, peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan kelansungan mereka.

Katanya, walaupun sudah terdapat pakej ransangan RM300 bilion yang disediakan sebelum ini, belanjawan tersebut mungkin akan menyediakan satu bentuk sokongan kepada pakej ransangan sebelum ini.

“Kita telahpun mengambil langkah untuk pemulihan, kita sudah hamper benarkan semua sektor berjalan dan kita sudah lihat sektor-sektor tertentu seperti sektor pembuatan, peruncitan, pelancongan tempatan dan lain-lain sudah mula agak meningkat tetapi mereka ini perlukan sokongan dan mungkin insentif yang perlu kita fikirkan dan kita akan kemukakan dalam belanjawan itu nanti,” katanya.

Tambah beliau, belanjawan terbabit juga akan memberikan perhatian kepada usaha untuk melestarikan kehidupan rakyat khususnya mereka yang tergolong dalam golongan B40 serta mereka yang mudah terjejas.

Katanya, belanjawan itu akan melihat kepada kaedah untuk menyediakan jaringan keselamatan kepada golongan terlibat agar tidak terus terjerumus kepada satu paras kemiskinan.

Dalam pada itu, ujar beliau, sektor penyampaian perkhidmatan turut menjadi antara teras penting dalam pembentangan belanjawan tersebut.

“Ini penting untuk kita menentukan supaya apa yang kita telah sediakan ini dapat dilaksanakan oleh peringkat perkhidmatan dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya

Jelas Muhyiddin, belanjawan 2021 kali ini pastinya akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang telah dicapai menerusi tiga pakej ransangan ekonomi sebelum ini iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.

Justeru beliau berharap belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada 6 November depan akan menjadikan rakyat dan komuniti perniagaan serta negara menjadi lebih berdaya tahan untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu akibat wabak Covid-19. — DayakDaily

Advertisement