PKR Tanjung Manis gesa kerajaan Sarawak tarik balik larangan KK dan KM hadir program anjuran kerajaan pusat

Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi

KUCHING, Jun 19: Kerajaan negeri Sarawak digesa menarik balik larangan membenarkan Ketua Masyarakat(KM) dan Ketua Kaum (KK) untuk hadir ke program anjuran kerajaan pusat.

Ketua Cabang Tanjung Manis merangkap Timbalan Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi berkata larangan itu mencemari kepercayaan yang telah diberikan rakyat Sarawak untuk mentabir negeri ini dengan aman dan harmoni.

“Arahan terbaharu kerajaan Sarawak ini amat jelik dan membelakangkan sama sekali prinsip kerajaan Sarawak yang dibina atas semangat setiakawan rakyat Sarawak yang mesra dan bersatupadu.


“Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun menjadi kerajaan persekutuan, tiada sebarang usaha dari pihak kami untuk menghalang mana-mana rakyat atau pemimpin kami menyertai majlis kelolaan kerajaan Sarawak.

“Kami terbuka demi kesatuan dan kepentingan rakyat Sarawak,” kata beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tegas Aditajaya, arahan itu harus ditarik balik dengan segera sebelum ia melarat sehingga menjejaskan hubungan baik kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

Jika tidak dibendung, arahan seumpama itu akan merugikan rakyat luar bandar dan bandar-bandar kecil yang masih memerlukan suntikan pelaburan dan pembangunan yang boleh diberikan kerajaan persekutuan, katanya.

“Pada pandangan saya, arahan ini seakan berbentuk ancaman atau suatu bentuk provokasi yang wajar disiasat kerajaan Sarawak kerana saya yakin Ketua Menteri tidak akan bertindak sedemikian.

“Persoalannya, adakah wujud pihak berkepentingan lain yang seakan “little Napoleon” yang menjadi tangan ghaib dalam mengeluarkan arahan tidak bertanggungjawab ini?

“Jika ada, saya meminta individu ini disiasat dan diambil tindakan kerana walaupun dianggap kecil tetapi ia memberikan takrifan besar dan memberi gambaran buruk kepada kerajaan Sarawak dan setiap rakyat Sarawak yang cintakan keamanan dan keharmonian,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Aditajaya percaya larangan tersebut boleh membawa kesan buruk kepada kedua-dua belah pihak.

Beliau turut menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetepi segala agenda ;survival’ politik kepimpinan elit kerana jika ini diteruskan rakyat Sarawak akan bangkit dan menolak GPS habis-habisan. — DayakDaily