PKR Sarawak gesa kerajaan negeri selesaikan isu hampas kayu balak di Ulu Balui

Abun Sui Anyit

MIRI, 14 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa kerajaan negeri untuk mencari satu kaedah penyelesaian total bagi membersihkan hampas kayu balak yang terlalu banyak di sungai Ulu Balui, Belaga.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, pencemaran hampas kayu balak dan ranting-ranting kayu yang terlalu banyak di bahagian hulu tasik empangan mega Hidroelektrik Bakun itu telah berlarutan sejak proses penakungan air untuk empangan Bakun pada tahun 2010.

“Saya bersimpati dengan penduduk Ulu Balui yang terpaksa menghadapi cabaran yang sangat ekstrim setiap hari kerana masalah log jam (hampas balak) ini boleh menyebabkan pergerakan terganggu atau memutuskan pergerakan penduduk yang bergantung hidup kepada sungai untuk menampung kehidupan harian mereka.


“Selain daripada itu, sungai Ulu Balui juga merupakan satu-satunya jalan pengangkutan harian penduduk yang menetap di kawasan itu.

“Jika log jam ini tidak dibersihkan mengikut jadual maka hampas balak ini akan menjadi semakin banyak dan menimbun sehingga boleh menyebabkan satu halangan kepada semua pengguna lebih-lebih lagi nelayan sungai di Ulu Balui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abun turut menasihati kerajaan negeri untuk memantau syarikat kontraktor yang akan diberi tanggungjawab untuk membersihkan hampas balak itu agar kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan berkesan.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk memberikan kontrak pembersihan empangan tasik Bakun kepada banyak syarikat terutamanya kepada penduduk-penduduk Daerah Belaga.

“Kerajaan perlu menambah kontraktor-kontraktor pembersihan tasik empangan Bakun kepada penduduk asal Ulu Balui supaya kerja-kerja pembersihan ini juga akan berjaya dan secara tidak langsung dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk asal Ulu Balui,” ujarnya.

Portal berita The Vibes semalam (13 Okt) melaporkan bahawa sisa hampas kayu balak yang banyak telah menyekat laluan Sungai Balui dan anak-anak sungai yang lain sehingga tidak lagi dapat dilalui dengan pengangkutan air.

Antara penempatan yang terkesan adalah Long Busang, Long Jawe, Long Ayak, Naha Jalei, Batu Keling Naha Nyabong dan Sang Anau. — DayakDaily