Sediakan alat pengimbas dadah di lapangan terbang – PKR Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING, 17 April: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit menggesa kawalan ketat dikenakan di setiap lapangan terbang yang ada penerbangan terus ke Sarawak.

Menurut beliau, ia berikutan laporan pihak berkuasa bahawa dadah yang diedar sehingga ke pedalaman Sarawak dikatakan banyak berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Justeru kawalan di lapangan terbang KLIA, Pulau Pinang dan Senai yang ada penerbangan terus ke Sarawak perlu dilengkapi dengan alat pengimbas dadah yang canggih,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Abun, semasa berulang-alik ke KLIA dari Miri, Sibu atau Kuching, beliau dapati bagasi penumpang tidak diimbas di KLIA 1 dan KLIA2 seperti di lapangan terbang Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya, keadaan ini mendatangkan persoalan dan pasti merisaukan.

” Adakah keadaan ini menyebabkan pengedar dadah mudah “mengeksport” dadah ke Sarawak?,” tanya Abun. — DayakDaily