PKR pandang serius tindakan MBM rampas barangan jualan di Tamu Lutong

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 26 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memandang serius tindakan Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang merampas barangan jualan dan peralatan peniaga di pasar Tamu Lutong pada pagi semalam.

Timbalan Ketua Wanita PKR Sarawak Zulhaidah Suboh berkata, pihak berkuasa harus lebih prihatin dan memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap kehidupan rakyat yang kian terhimpit akibat daripada penularan wabak Covid-19.

“Menurut penduduk tempatan dan juga rekod video yang tular, MBM telah menjalankan penguatkuasaan ke atas peniaga-peniaga kecil di kawasan Tamu Lutong bagi menghalang mereka dari terus berniaga di kawasan tersebut.


“Semasa proses penguatkuasaan tersebut, pihak berkuasa juga telah merampas barangan jualan dan peralatan yang digunakan para peniaga,” katanya dalam satu kenyataan bersama Timbalan Angkatan Muda PKR Sarawak Chiew Choon Man hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penularan wabak Covid-19 yang berpanjangan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan telah memberi kesan yang buruk terhadap kehidupan majoriti rakyat.

Katanya, ada diantara mereka yang terkesan terdiri daripada mereka yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan akibat kekangan semasa pandemik ini.

“Justeru, kita tiada cara yang lain melainkan mengambil sikap kebersamaan dan memupuk aspirasi sehati sejiwa dalam berhadapan dengan krisis dunia ini.

“Kerajaan memerlukan sokongan daripada rakyat bagi menjayakan usaha menangani krisis ini manakala rakyat perlukan sokongan daripada kerajaan untuk membantu mereka mengharungi cabaran ini,” kata mereka.

Berhubung kejadian tersebut, mereka menggesa kerajaan dan penguatkuasa agar lebih bersikap prihatin serta menggunakan kebijaksanaan dalam mencari jalan penyelesaian yang dapat mengimbangi kepentingan semua pihak.

PKR turut mendesak agar MBM segera mengadakan dialog bersama bagi menyelesaikan masalah ini. — DayakDaily