Vaksinasi secara ‘walk-in’ dibenarkan di PPV awam di Miri

Datuk Lee Kim Shin

KUCHING, 26 Julai: Kesemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Daerah Miri kini dibenarkan untuk memberi suntikan vaksin secara ‘walk-in’ kepada orang ramai.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata ia melibatkan tiga buah PPV di daerah tersebut.

Tiga buah PPV berkenaan ialah PPV Dewan Eastwood, PPV Universiti Curtin dan PPV Dato’ Lee Teck Fook (Sekolah Menengah Jalan Riam) dan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.


“Orang ramai yang hadir secara ‘walk-in’ ke PPV awam tersebut diminta untuk membawa kad pengenalan serta rekod perubatan masing-masing.

“Mereka boleh mendaftar secara ‘walk-in’ sekiranya stok vaksin sudah habis atau mendapat suntikan vaksin secara ‘walk-in’ selagi stok vaksin masih ada pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Miri “Vaksin Secara Walk-In di 3 PPV Awam bagi Daerah Miri & Pencapaian PICK Bahagian Miri” semalam.

Jelas Lee, JPBB Miri mensasarkan lebih 80 peratus daripada 311,035 populasi penduduk berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri mendapatkan imuniti kelompok.

Katanya yang juga Menteri Pengangkutan, ia disasarkan dicapai selewat-lewatnya pada penghujung Ogos ini.

Dalam pada itu, Lee memaklumkan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di Bahagian Miri berjalan dengan lancar.

“Setakat ini seramai 259,663 orang atau 83.48 peratus penduduk di Bahagian Miri telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama.

“Manakala, dos kedua ialah seramai 174,872 orang atau 56.22 peratus,” katanya. — DayakDaily