PKPB dilaksana di empat kawasan baharu zon merah

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

Oleh Kadir Edison

PUTRAJAYA,7 Okt: Kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat kawasan yang baharu di isytihar sebagai kawasan zon merah di Sabah dan Selangor.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan berkenaan iaitu Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang kini mencatatkan peningkatan mendadak sehingga melebihi 40 kes positif direkodkan.

“Melihat kepada peningkatan kes COVID-19 di kawasan-kawasan tersebut, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 Oktober 2020.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari. Pergerakan keluar masuk di ke empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan,” katanya ketika berucap menerusi aplikasi ‘Facebook Live’ peribadi beliau.

Katanya, hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan beroperasi ketika perintah tersebut dilaksanakan.

Manakala restoran, kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak dibenarkan untuk beroperasi antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

“selain itu pasar harian hanya dibenarkan untuk beroperasi daripada jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang sementara operasi bagi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

Katanya klinik dan hospital kerajaan serta swasta dibenarkan beroperasi secara 24 jam bagi tempoh perlaksanan PKPB di kawasan terbabit.

Bagaimanapun farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan hanya dibenarkan untuk beroperasi mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan bertindak mengawal seluruh kawasan terlibat.

Justeru beliau meminta semua penduduk di kawasan tersebut untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas kementerian kesihatan (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Mengulas mengenai perkembangan jangkitan di penjara, Ismail Sabri berkata daripada 691 kes yang direkodkan semalam, 401 kes melibatkan kes dalam penjara di Kedah dan dari pusat tahanan pelindungan Taiping.

“Selain itu, 219 kes adalah daripada zon merah di Sabah yang mana kawasan ini telahpun dikawal oleh pihak berkuasa dan saringan sedang dilaksanakan dan selebihnya hanya 71 kes melibatkan penularan dalam komuniti.

“Melihat kepada peningkatan kes dalam penjara, Sidang Khas hari ini bersetuju meminta Jabatan Penjara Malaysia membentangkan SOP baharu termasuk bagi membawa tahanan ke Mahkamah untuk dituduh dan pemindahan tahanan ke penjara yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) berkuatkuasa 12.01 tengah malam, 8 Oktober ini.

Ia susulan tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 direkodkan untuk tempoh tujuh hari iaitu sejak 28 September 2020 di kawasan terbabit. – DayakDaily