Lelaki terjun sungai ditemui lemas

LAWAS, 7 Okt : Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas terjun ke dalam sungai berdekatan jeti di hadapan rumah Asmah Putih di sini tengah hari semalam ditemui lemas sekitar 3.42 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mangsa Awang Asmali Awang Damit, 35, ditemui oleh penduduk kampung kira-kira 300 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) di tempat mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai.

Dalam kejadian semalam lelaki terbabit bertindak sedemikian bagi melarikan diri selepas dikejar oleh sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJD) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tersebut diaktifkan sekitar 6.30 petang semalam sejurus menerima panggilan memohon bantuan untuk mencari mangsa tersebut sebelum ia di tangguhkan pada 7.30 malam susulan cuaca gelap.

“SAR disambung semula pada jam 7.00 pagi tadi dan Operasi pencarian dimulakan oleh pasukan Bomba bersama 4 orang dengan menggunakan kaedah penyelamatan di permukaan air, ‘grappling iron’ dan (lalau) peralatan cara kampung dengan radius pencarian sekitar satu kilometer dari PKOB.

Katanya, pada operasi SAR pagi tadi, dompet duit milik mangsa, ditemui penduduk kampung Jamuddin Amad berdekatan rumpun buluh di tepi sungai.

“Operasi SAR mangsa terbabit ditamatkan pada 3.50 petang tadi sejurus mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi tersebut dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk Tindakan selanjutnya,” katanya. – DayakDaily