PKP: Tiada penetapan nilai bantuan makanan RM100, tegas Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, MAC 31: Jawatankuasa Rantaian Bekalan Makanan tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa nilai bantuan makanan yang disediakan hendaklah berjumlah RM100, tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar
Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa tersebut berkata, objektif utama melalui peruntukan tambahan RM16.4 juta adalah untuk memastikan seramai mungkin rakyat menerima bantuan terutamanya penduduk di luar bandar dan golongan miskin bandar.


Tambah beliau, golongan yang terputus sumber pendapatan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April juga akan turut menikmati bantuan tersebut.

Justeru katanya, isu nilai barangan yang diagihkan bagi setiap keluarga atau rumah tidak sepatutnya timbul dan dipertikaikan penerima bantuan makanan ini.

“Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunakan peruntukan RM16.4 juta untuk memberi bantuan bekalan makanan asas kepada kumpulan sasar di seluruh negeri mengikut kawasan dewan undangan negeri.

“Golongan sasar ini akan ditentukan Jawatankuasa Bencana Bahagian dan Daerah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pusat khidmat serta NGO berkaitan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Beliau menjawab kekeliruan berhubung pengagihan bantuan yang bakal diberikan setelah sesetengah pihak menuduh bahawa nilai hendaklah berjumlah RM100.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II
menambah, sebelum ini memang ada beberapa ADUN melalui pusat khidmat serta NGO telah melaksanakan inisiatif menghantar bekalan makanan ke kawasan masing-masing.

“Namun, ia tertakluk kepada kemampuan dan budi bicara ADUN berkenaan dan NGO yang terlibat,”ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Awang Tengah sekali lagi menyeru rakyat agar tidak melakukan pembelian panik sepanjang tempoh PKP.

Bekalan makanan asas di Sarawak adalah mencukupi dan rakyat tidak perlu gusar, ujar beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.—DayakDaily