PKP: Kerugian RM2.4 bilion sehari, langkah diambil untuk elak ekonomi rosak — Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, April 26: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedar impak besar pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) termasuk kerugian RM2.4 bilion sehari akibat penutupan perniagaan.

Justeru katanya, langkah susulan harus diambil untuk memastikan ekonomi negara yang dibangunkan sejak enam dekad lamanya tidak rosak.

“Sebab itu kita mengambil satu langkah yang agak berani, iaitu langkah yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini.


“Walaupun Menteri Kewangan kita orang baru, dan waktu dia menyertai kabinet, saya minta segerakan kerja itu dalam tempoh dua minggu iaitu membuat satu perancangan tentang berapa jumlah wang yang harus kita sediakan dan bentuk pakej rangsangan yang harus kita sediakan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro Awani dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bangunan Putra Perdana yang disiarkan di TV1 dan TV3 semalam.

Dengan demikian tambah beliau, lahirlah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), iaitu fasa pertama melibatkan RM250 bilion dan fasa kedua RM10 bilion, khusus untuk menangani impak Covid-19 ke atas negara.

Katanya, ia untuk memastikan kedudukan ekonomi negara jangan sampai teruk sekali.

“Ini pun dikatakan pakej rangsangan iaitu datang dalam satu bentuk untuk satu jangka yang tidak terlalu panjang, mungkin antara tiga sehingga enam bulan sahaja.

“Itu pun menyebabkan satu jumlah rangsangan dari segi fiskal hampir RM35 bilion dan bentuk bukan fiskal seperti cukai dan yang lain-lain pun hampir beberapa puluh bilion yang terpaksa kita sediakan.

“Demi membantu siapa-siapa yang terlibat dalam industri dan dalam bentuk perniagaan agar membolehkan mereka bertahan dalam satu tempoh yang lama sedikit,” katanya lagi.

Muhyiddin juga akui pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bukan bermakna ia mampu memulihkan ekonomi negara seperti sedia kala.

Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan akan terus mengkaji sama ada perlukah lagi suntikan fiskal, atau usaha lain di masa akan datang.

“Dalam kita menjaga, memelihara kesejahteraan rakyat dari penyakit wabak Covid-19, kita juga nak memastikan supaya ekonomi kita akan mampu bertahan dalam satu jangka masa yang agak berpatutan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan dan sektor swasta, katanya, perlu memikirkan pendekatan baharu bagi menarik pelaburan dan menjalankan perniagaan pasca Covid-19.

Menurut Muhyiddin, pengurusan dan pemilik syarikat mesti mencari bentuk baharu untuk bergerak ke hadapan.

“Ini kerana bukan saja Malaysia, tetapi seluruh dunia akan mengalami masalah. Contohnya, katakan kita nak menarik pelabur masuk, seluruh dunia pun nak pelaburan, tetapi modal dunia terbatas.

“Kalau Malaysia tak ambil satu langkah agresif untuk menarik pelaburan dengan cara baharu, agresif dari segi pendekatan atau tawaran insentif tertentu, kita akan tertinggal jauh di belakang,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily