PKP Kapit dan Song tidak benarkan penduduk keluar rumah kecuali untuk makanan, rawatan kesihatan dan perkhidmatan perlu

SOP PKP Daerah Kapit dan Song.

KUCHING, 2 Feb: Semua penduduk di Daerah Kapit dan Song tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing dalam tempoh dua minggu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa mulai tengah malam tadi.

Menurut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang baru dikeluarkan hari ini, penduduk hanya dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, keperluan harian, rawatan kesihatan dan perubatan.

Laluan keluar masuk ke kawasan PKP ditutup dan akan dikawal oleh pihak polis yang dibantu oleh anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam (JPM).


Hanya dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas lain ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Manakala, hanya tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan.

Pergerakan keluar masuk dalam kawasan PKP bagi kes kecemasan seperti kematian dibenarkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Selain itu, pergerakan keluar masuk bagi kes kecemasan seperti bencana alam adalah dibenarkan.

SOP PKP Kapit dan Song turut menetapkan semua aktiviti selain daripada yang tersenarai dalam senarai perkhidmatan perlu adalah tidak dibenarkan.

Restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka, farmasi, stesen minyak, kedai dobi dibenarkan beroperasi antara 6 pagi higga 8 malam manakala pasar basah beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang.

Manakala hospital, klinik, dan makmal perubatan boleh beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran operasi.

Kapasiti kehadiran pekerja bagi perkhidmatan perlu terhad kepada pekerja yang perlu hadir secara fizikal ke tempat kerja bagi tujuan melaksanakan tugas dan kategori pekerja lain dalam perkhidmatan perlu boleh bekerja dari rumah.

Aktiviti masjid atau surau dan rumah-rumah ibadat bagi tujuan pengurusan dibenarkan hadir seramai lima orang dan solat Jumaat tertakluk kepada SOP Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri .

Manakala bagi agama lain adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Pengoperasian institut Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori Institut Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah seperti ketetapan yang dikeluarkan oleh KPM.

Operasi kedai pakaian, dobi layan diri, kedai cermin mata, gunting rambut, salon, SPA, rumah urut dan refleksologi juga tidak dibenarkan.

SOP tersebut juga menetapkan aktiviti hiburan seperti kelab malam, taman tema, karaoke keluarga dan panggung wayang, konsert atau acara langsung adalah tidak dibenarkan.

Penganjuran majlis keramaian seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, ‘reunion’, ‘retreat’ dan lain-lain majlis sosial turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. — DayakDaily