PKP: 13 kategori projek pembinaan dibenarkan beroperasi secara berperingkat — Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 22: Sebanyak 13 kategori projek pembinaan dibenarkan beroperasi secara berperingkat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Infrastruktur, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.


“Secara amnya, projek-projek yang dibenarkan beroperasi adalah projek yang tidak memerlukan ramai pekerja di tapak, seperti projek pembinaan bangunan yang mempunyai skor IBS 70 dan ke atas, kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja pembinaan yang telah mencapai kemajuan fizikal 90 peratus dan ke atas,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prosedur operasi piawai (SOP) pembinaan semasa PKP di Putrajaya hari ini.

Tambah Fadillah, projek lain yang dibenarkan termasuk kerja kritikal untuk memastikan keselamatan struktur pembinaan seperti kerja-kerja cerun, terowong, jambatan dan viaduct serta penyiasatan tanah.

“Ia juga termasuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air dari tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk dan haiwan perosak.

“Selain itu, semua khidmat profesional juga termasuk kerana ia diperlukan untuk pengurusan dan penyeliaan projek, termasuk meluluskan pembayaran bagi kemajuan kerja pembinaan,” katanya.

Berhubung isu yang sama, Fadillah juga memaklumkan kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan kontraktor kelas G1 dan G2 turut dibenarkan beroperasi.

Katanya, ia penting bagi meningkatkan kelangsungan ekonomi syarikat-syarikat kecil.

“Hal ini kerana kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor G1 dan G2 juga adalah kecil dan tidak membabitkan ramai pekerja,” tegas beliau.

Pada sidang media yang sama, Fadillah turut memaklumkan bahawa syarikat dan kontraktor yang dibenarkan beroperasi perlu menyediakan alat pengimbas suhu badan di tapak pembinaan.

Ujar beliau, ia merupakan sebahagian daripada SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Kontraktor atau syarikat yang diluluskan untuk beroperasi hendaklah menyediakan alat pengimbas suhu badan serta melakukan saringan pekerja yang mempunyai gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

“Pengukuran suhu badan dan saringan gejala perlu dilakukan setiap hari di pintu masuk tapak pembinaan atau premis,” tegas Fadillah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan telah menerima 19,077 permohonan daripada syarikat dalam industri pembinaan untuk beroperasi sepanjang PKP.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,856 permohonan sudah diluluskan manakala 7,387 permohonan gagal.

Waktu kerja di tapak pembinaan sepanjang tempoh PKP ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang sahaja, selama lima hari seminggu. — DayakDaily