PKN buat laporan polis berhubung tuduhan membabitkan RM8.6 juta

Nurhanim (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang telah dibuat di Balai Polis Satok di Kuching.

KUCHING, 16 Nov: Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Sarawak Nurhanim Mokhsen hari ini tampil membuat laporan polis berhubung tuduhan liar yang mengaitkan PKN dengan dana berjumlah RM8.6 juta.

Menurut Nurhanim, ia sebagai respon kepada tuduhan yang telah dibuat oleh Ketua Pemuda Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak, Steven Chaw seperti yang disiar dalam portal Perak Today bertarikh 12 November 2020.

“Menurut apa yang disiarkan dalam portal tersebut, PKN dituduh, sejumlah RM8.6 juta dana disalurkan kepada PKN dan setiap seseorang ahli jawatankuasa akan mendapat RM780,000.


“Saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya tomahan dan fitnah dalam laporan tersebut yang mengandungi fakta-fakta palsu,” tegas beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Satok jam 11.34 pagi ini.

Tambah Nurhanim, tuduhan itu juga telahpun dimuat naik ke laman media sosial Facebook, Twitter dan Instagram malahan berleluasan dalam kumpulan WhatsApp yang lain.

“Dengan ini saya ingin sekali lagi menjelaskan bahawa PKN adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara sukarela tanpa menerima peruntukan dana seperti yang didakwa.

“Aktivis-aktivis kami tidak menerima sebarang gaji dan semua aktiviti yang dilakukan adalah atas dasar semangat sukarelawan yang tinggi di kalangan kami,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) adalah merupakan inisiatif bersifat pentadbiran di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai sebuah mekanisme yang memberi fokus serta memperkukuhkan perlaksanaaan Dasar Komuniti Negara.

Katanya, PeKT telah diluluskan oleh kabinet pada 23 November 2018 untuk memperkasakan komuniti mengikut kesesuaian demografi sesuatu kawasan dan komuniti setempat, yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019 oleh Perdana Menteri ketika itu.

“Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, MP Port Dickson dalam ucapan Belanjawan 2021 di Parlimen, menuduh bahawa dana itu akan disalurkan kepada PKN adalah tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

“Sangat mendukacitakan motif pembangkang hanya bertujuan kepentingan politik murahan untuk mengeliru rakyat,” kata Nurhanim. — DayakDaily