PJKM kini cecah jualan RM38.09 juta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 30 Mac: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bermula sejak 2 Disember 2021 lalu kini mencecah jualan sebanyak RM38.09 juta.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, program tersebut telah menjangkau 100 peratus kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.

“Sehingga 25 Mac 2022, KPDNHEP sebagai penyelia program ini telah melaksanakan PJKM di semua 222 kawasan Parlimen.


“Ini termasuk Parlimen pembangkang dengan jumlah program melebihi 1,274 lokasi meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Seramai 2.017 juta pengunjung telah membanjiri PJKM yang disokong oleh 202 rakan strategik yang terdiri dari agensi kerajaan dan pemain industri sektor peruncitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan sambutan baik rakyat, tambah Nanta, kementerian telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan PJKM sehingga Jun 2022.

Katanya, PJKM yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2022 ini diteruskan secara berkala.

“PJKM merupakan salah satu usaha kerajaan yang telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan serta diakui sendiri oleh rakyat Malaysia yang mengunjungi PJKM.

“Barang-barang yang ditawarkan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat yang dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup dalam situasi yang mencabar sekarang ini,” ujar Nanta.

Rakan-rakan strategik yang telah menyokong dan menyertai PJKM termasuklah agensi-agensi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti FAMA dan LKIM, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan pemain industri sektor peruncitan seperti Hypermarket dan pasaraya setempat.

Justeru, Nanta menggalakkan rakyat di kawasan-kawasan Parlimen berkenaan untuk merebut peluang untuk berjimat dalam pembelian barang keperluan rumah yang ditawarkan seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, neras dan lain-lain keperluan rumah. — DayakDaily